http://www.emailcashpro.com

Friday, September 28, 2007

Wednesday, September 19, 2007

Keperluan Wasiat

Assalamualaikum.


Perkara utama dalam pembahagian harta pusaka ialah membuat wasiat. Suruhan membuat wasiat disebut dari awal lagi di dalam al-Qur'an. Daripada ayat al-Baqarah yang berkenaan dapat difahamkan iaitu bagi orang-orang yang bertakwa (takut kepada Tuhan) adalah wajib membuat wasiat sebelum mereka meninggal dunia. Wasiatnya memihak kepada ibu bapanya, dan sanak saudara. Ayat yang dimaksudkan berbunyi,

"Dituliskan (ditetapkan) bagi kamu, apabila seseorang antara kamu didatangi kematian, dan dia meninggalkan kebaikan (harta), supaya membuat wasiat memihak kepada ibu bapanya, dan sanak saudara dengan baik - suatu kewajipan kepada orang-orang yang bertakwa." (2:180)

Kemudian, sekiranya kandungan wasiat difikirkan tidak adil atau berdosa maka ia harus dibetulkan dengan perundingan antara pihak-pihak yang terlibat. Al-Qur'an didapati amat jelas mengenai perkara tersebut:

"Jika seseorang takut akan penyimpangan daripada jalan yang benar, atau dosa, daripada orang yang berwasiat itu, lalu dia membetulkan antara mereka, maka tidaklah ada dosa baginya. Sesungguhnya Allah Pengampun, Pengasih." (2:182)

Wasiat patut juga mengandungi peruntukan untuk isteri selama setahun dan pembayaran sewa rumah, kalau rumah yang didiami disewa. Peringatan itu datang daripada ayat berbunyi,

"Dan orang-orang antara kamu yang mati dan meninggalkan isteri-isteri, hendaklah mereka membuat wasiat untuk isteri-isteri mereka, peruntukan untuk setahun tanpa mengeluarkannya; tetapi jika mereka keluar, maka tidaklah bersalah ke atas kamu mengenai apa yang mereka buat pada diri-diri mereka sendiri dengan baik; Allah Perkasa, Bijaksana." (2:240)

Selanjutnya, difahamkan iaitu nama-nama penerima harta pusaka yang dinyatakan di dalam wasiat hendaklah termasuk "orang-orang yang terikat dengan sumpah" orang yang berwasiat, seperti anak angkat, anak tiri, atau apa yang dikatakan "tangan-tangan kanan kamu memiliki" (sila rujuk Tangan Kanan Miliki). Fahaman berdasarkan ayat berikut:

"Dan bagi tiap-tiap orang, Kami melantik waris-waris daripada apa yang ibu bapa dan sanak saudara meninggalkan, dan orang-orang yang terikat dengan sumpah kamu. Maka berilah mereka bahagian mereka; sesungguhnya Allah adalah saksi atas segala sesuatu." (4:33)

Dua orang saksi diperlukan dalam wasiat, yang terdiri daripada mereka yang mempunyai keadilan di kalangan kenalan orang yang berwasiat atau dua yang lain jika dia sedang dalam perjalanan. Dan mereka akan bersumpah jika orang yang berwasiat ragu-ragu. Demikian dinyatakan oleh ayat di bawah:

"Wahai orang-orang yang percaya, kesaksian antara kamu apabila salah seorang daripada kamu ditimpa maut, apabila dia berwasiat, ialah dua orang yang mempunyai keadilan antara kamu, atau dua yang lain daripada selain kamu, jika kamu berpergian di bumi, dan bencana maut menimpa kamu. Kemudian kamu akan tahan mereka sesudah solat, dan mereka akan bersumpah dengan Allah, jika kamu ragu-ragu: 'Kami tidak akan menjualnya untuk suatu harga, walaupun ia sanak saudara yang dekat, dan kami tidak juga akan menyembunyikan kesaksian Allah, kerana jika demikian, tentu kami termasuk orang-orang yang berdosa.'" (5:106)

Oleh yang demikian, wasiat wajib dibuat walau dalam apa keadaan jua pun. Wassalam.

Soal Jawab Fekah - Harta Sepencarian & Kelemahan Institusi Agama